Followers

Tuesday, November 2, 2010

aku ini melayu.

bertahun aku lakar coretkan kisah hati dalam bahasa penjajah di laman ini. ada yang bertepuk hangat bersorak bingar akan hebat agungnya kebolehanku berbahasa penjajah, tak kurang juga yang menjuih bibir serong menjeling akan hilangnya seorang lagi anak melayu, ditelan peradaban zaman yang beredar. adakah aku malu berbahasa melayu? rendahkah martabatku sebagai anak melayu? akankah lebih terkesan rasa fikiran jika kata-kata penjajah yang kulemparkan? andai itu sangka kamu, kamu silap.

pernah aku kisahkan dalam coretan yang terdahulu akan mengapa aku tidak menggunakan bahasa ibundaku ini dalam setiap penceritaanku. tapi mungkin juga penerangan itu tidak cukup jelas, tidak diperhalusi dengan susun atur bicara yang terperinci. maka, hari ini aku titipkan jawap akhir akan persoalan kamu. nah ini jawabku.

aku ini pemegang ijazah pengajar bahasa inggeris, bererti tergalas pemberat di kedua bahuku akan tanggungjawab mendidik anak bangsaku akan globalnya dunia mereka, akan ketidakperluan mereka untuk menjadi prejudis akan bahasa penjajah itu, adalah tidak bermakna mereka mengkhianati darah melayu pekat mereka itu sekiranya fasih bertutur akan bahasanya seorang penjajah. untuk itu, aku perlu meyakinkan diriku lebih dari aku meyakinkan anak bangsaku akan perlunya bahasa penjajah itu meskipun tidak setanding bahasa ibunda yang dipertahankan. aku perlu sentiasa menggunakan bahasa penjajah ini agar ianya tidak pudar basi mahupun berkarat kelak ketika aku mendidik mereka. adakah adil bagi anak bangsaku seandainya aku mendidik mereka akan bahasa penjajah ini sedangkan aku sendiri terkial-kial memintal ayat menyusun kata tentangnya? aku tidak mahu menjadi belot akan janji setia pada mereka, tidak pernah mahu aku menjadi seorang pendidik yang ajarannya sekadar batuk di celahan tangga. aku mahu menjadi pendidik agung itu yang tahu akan liang-liuk bahasa penjajah tanpa perlu menafikan darah melayu dalam dirinya. aku mahu perkayakan nuansa penjajah itu semewah nahu melayu yang mengalir dalam diriku sejak aku sekecil kerikil pantai.

aku dibesarkan dalam keluarga yang darah melayunya pekat mengalir. ibuku seorang guru bahasa melayu, ayahku seorang guru sejarah, dan kamu juga sedia maklum bukan bahawa melayu dan sejarah itu bagai hutan dan hujan, saling melengkapi akan kewujudan masing-masing. maka kerana itulah, aku ini amat memandang tinggi akan indah tenangnya bahasa melayu itu. percaya atau tidak, kedua orang tuaku tidak pernah tahu berbahasa penjajah itu sehingga ke hari ini. pernah juga aku bertanya ibu, adakah wujud darah penjajah dalam darahku, mana tahu adanya keturunan yang bukannya melayu dalam wasilah keluargaku. ibu senyum waktu itu. kata ibu, aku ini melayu, ayahmu juga melayu, kamu ini pun melayu, tapi hati kita sama manusia, tidak ada bezanya penjajah atau bukan. bezanya manusia hanya hati mereka, bersih atau tidak. perjuangkan melayumu, tapi jangan sekali kamu hukumi bahasa seorang penjajah, kerana kamu itu tugasnya mendidik, dan bukan membenci. kupegang kemas kata-katamu ibu. dan hari ini, akan aku sampaikan pesanmu buat mereka di luar. hari ini, ku mohon dibukanya hati mereka agar jangan pernah perlekehkan seorang melayu itu hanya kerana bahasanya seorang penjajah. tidak bermakna apabila tutur coretan itu berteraskan bahasa penjajah, maka melayunya dilempar dihenyak segala. aku ini melayu, tapi perlunya bahasa penjajah itu aku seimbangkan dengan darahku untuk anak bangsaku.

andai kamu terfikir, mengapa kini semakin bersusun coretanku dalam bahasa ibundaku, maka aku katakan, segalanya kerana noor suraya, rnysa dan fida aishah. mereka ini membangkitkan rasa melayu yang ada dalam diri, menghadirkan sebuah inspirasi akan aku juga seorang anak melayu, yang indah bahasa ibundanya masih tetap di hujung lidah, meski coretan harianku berbahasa penjajah. terima kasih akan ingatan itu. sesekali, akan aku lakarkan coretan dalam bahasa melayu ini kerana aku juga anak melayu.

dan akan selamanya, aku ini melayu.

No comments:

Post a Comment