Followers

Tuesday, December 14, 2010

hari tua, jodoh, dan kasih tuhan.

assalamualaikum. hari ini mood tak seceria biasa. kesihatanku agak terganggu. ini pun baru sahaja menelan ubat tahan sakit dan juga plum ball. alhamdulillah, kira aku masih lagi mampu menghirup udara malam ini. sepanjang malam tadi ibu menjaga aku. lucu bukan? dengan umur yang sudah lebih dua dekad ini ibu masih layan aku sebagai anak kecil. kerana aku tak mampu untuk bangun mengambil ubat apatah lagi menjamah nasi, ibu membawa ubatku ke bilik. nah, bermacam ubat lagi yang diusungnya. jenuh juga aku menelannya. tapi, kerana dia ibu, aku tahu akan tiap gusar di garis wajahnya. sempat lagi dia berpesan sebelum ke kamarnya agar aku menjamah nasi di dapur. dan aku tahu di tengah malam nanti akan dia pasti ke dapur bagi melihat akan pesannya itu kuturuti. maka, kujamah jugalah nasi walau sedikit dengan selera yang tak seberapa. ibuku, dengan helaian rambut yang semakin putih, garisan halus di wajah tenang itu, aku temu satu kedamaian yang menghambat hati sedih aku. terima kasih ya Rab kerana hadirkan ibu itu untuk suluh tiap ruang gelap dalam hidup.

tapi bukan ibu sahaja yang bertambah usianya. ayah juga begitu. dengan ayah, kami adik beradik memang tak begitu rapat. ayah sangat tegas sifatnya, cukup berdisiplin mendidik kami mengenal Tuhan dan susah hidup. barangkali kerana hormat yang teramat itulah kami kadangkala jadi resah ingin berbicara dengannya. masih jelas di kotak kenangan masa kami masih kecil. ayah sendirilah yang mengajar kami mengaji. berlinang jugalah air mata kami saat ditegur keras. tapi tidak pernah pula kami mengadu pada ibu itu, mungkin kerana kami sendiri sedar kenakalan kami hanya mampu dilentur bentuk oleh tegasnya si ayah, dan bukan lembut gemalai si ibu. dan sehingga hari ini, kami setia menyelak helaian al-Quran itu saban hari. itulah didikan ayah. hari ini juga, hari tua ayah makin mengejar. kulihat perubahan itu seakan melihat turunnya jam pasir, cukup perlahan tapi merunsingkan. adakala ayah itu lupa sejenak tiap situasi di hadapnya. satu ketika, di tengah lebuh raya dengan kereta bersimpang siur, mahu sahaja dia keluar kala itu juga melihat akan belakang keretanya yang digeser motor. mujur ibu sempat menahannya dari keluar. kulihat ayah terpinga sebentar seakan baru sedar dari angan jauh entah kemana. ada juga ketika yang lain ayah mahu keluar dari parking lot pasaraya, telah dimasukkan kad parking itu, dan saat palang itu naik, dia memusing kereta menghala exit yang lain, katanya lebih senang mahu keluar. nah, sudah tersekat kami kerana palang yang tadi sudah jatuh kembali dan bagaimana pula hendak keluar di exit yang lagi satu sedang kadnya sudah tiada. mujur ada petugas di situ menjadi superhero kami. aneh bukan? ayah yang dahulunya serba kuat dan cermat juga bisa lupa. hari tua ibu ayah itu sedang hebat menghambat mereka, kami adik beradik cukup sedar dan waras akan hakikat yang satu itu. usia mereka keduanya telah menjangkau separuh abad. tapi tak pernah kami bincang nyatakan itu sesama kami. biarlah bahagia itu yang terlihat di mata dan gugup gentar itu tersemat kemas di hati-hati kami. setiap yang hidup akan kembali juga. itulah janji Tuhan, bukan? sungguhpun, kumohon agar dipanjangkan usia tua mereka dan dihindarkan dari kemudaratan agar kami sekeluarga mampu beriman bersama di jalan Allah itu.

lewat ini juga, selain dari soal ibu ayah, aku turut tumpang gembira akan kalangan sahabat yang sudah ramai mendirikan masjid yang indah peri. ada juga yang baru bina tangga masjid. bertunanglah tu maksudnya ahaha. alhamdulillah. jodoh mereka tiba dahulu sebelumku. adam mereka itu telah mereka temui buat teman sehidup semati, bersama di dunia dan kekal bercinta di syurga kelak. mudah-mudahan. tapi aku juga sedih pilu akan ada di kalangan mereka yang seakan hilang arah sejenak. berpacaran itu tidak salah bagi aku. perlunya kamu mengenali hati-hati adam dan hawa pilihanmu agar tidak kesal nanti. tapi salahmu pabila kau halalkan yang haram itu wahai sahabat. bagi kamu sang adam, peganglah tangan hawamu itu hanya setelah dia itu sah kau lafazkan sebagai hawamu yang satu. dan para hawa, kucup mesra dakap eratlah adam itu hanya kerana dia sah seorang suami yang pasti bimbing kamu dan keturunanmu untuk susuri jalan-jalan Allah. benar, kata kamu dia itu akan kamu nikahi juga. tapi sedarkah kamu sahabat tersayang akan tiap dosa yang terpalit itu tidak kan terhapus meski dia kau nikahi? tahukah kalian yang aku cinta ini bahawa kamu akan membawa bersama dosa itu ke gerbang perkahwinanmu kelak? iya dosa-dosa silam itu akan kau seret bersama-sama dan seterusnya keberkatan hidup bersama itulah yang menjadi sukar untuk kau kecapi. kecualilah jika kamu berpatah ke pangkalnya dan sujud insafi kekhilafan dahulu. ar-Rahman serta ar-Rahim itukan antara sifatnya Allah. maka kau kembalilah pada setiap ajaranNya. insyaAllah akan indah kembali dunia kamu.

tapi bagaimana pula kiranya cinta kamu itu tak mendapat restu izin orang tuamu? sakit tercalar seperti rasanya hati-hati itu. tapi kawan, janganlah pernah sekali kau campak orang tuamu jauh dari sisi hidupmu. cubalah kau yakinkan mereka, bantulah mereka akan melihatkan bahawa pilihanmu itu yang terbaik untukmu. mohonlah dilembut hati-hati keras ayah ibu agar mereka bisa tersenyum untuk masa depan kamu. dan andai pula hati itu tetap kering, maka kumohon jangan pernah kau belakangi mereka. kerana andai kau tetap memilih pilihanmu tanpa restu itu, sekali lagi keberkatan itu yang kurang untuk sinar hari tuamu kelak. mungkin akan kamu suarakan akan kedegilan anak-anakmu kelak, walau berpuas sudah kau lentur. akan terfikirkah kamu agaknya ia akibat keberkatan yang pernah kau gadaikan di hadap orang tuamu. maka, sebelum kau sesali di hari tuamu, kau ikutlah kata mereka. kau lepaslah apa yang perlu. aku rasa kamu juga cukup tahu bahawa cinta itu tidak pernah memiliki sifatnya. tapi aku sendiri adakala hairan akan pilihan anak muda sekarang. tidak mengikut unjuran agama seakannya. maka aku tidak tahu mengapa yang terdedah itu pilihan mereka. mengapa mereka yang kau pilih sedangkan yang tersembunyi itu bukankah lebih istimewa sepatutnya? tapi aku juga tahu apa itu cinta. perasaan itu pernah melewati sunyi hidupku. malah hingga saat ini, tak bisa lagi kukikis rasa itu untuk si dia yang barangkali bukan jodohku. aku juga pernah menagih restu ayah ibu untuk si dia. dan aku juga telah nekad lepaskan dia itu kerana dalamnya luka yang terpalit di hati semua akan tiadanya restu itu. tapi dengan rasa itulah, aku tahu bahawa kita tidak mampu memilih siapa yang kita cintai. rasa itu akan hadir dengan sendiri, cukup perlahan dan tenang sehingga kau sendiri menyedari akan hadirnya cinta itu hanya setelah ia subur terbenam. tapi tahukah kau bahawa kita sangat mampu memilih siapa yang akan kita nikahi. maka walau kau tidak punya kuasa untuk tentu siapa yang kau cintai, kau cukup punya hak bagi tentu siapa yang kau nikahi kelak. seandainya menikahi yang kau cintai itu akan pasti undang pilu di hati ramai, maka lepaslah dia seadanya. pilihlah yang bisa pimpin tangan kamu berjalan beriringan ke syurga. kamu punya pilihan wahai adam dan hawa. maka pilihlah. kuharap tiap dari kita akan temu jodoh yang telah Allah tetap untuk kita sebelum kita bernafas lagi. dan bagi yang masih belum bertemu pilihan hati (akulah itu haha..), marilah bersama menadah tangan meminta dari Allah agar ditemukan kelak. dan ingatlah seperti nyanyian melly goeslow (aku suka bangat ini..), biar kamu sepi, kamu hampa, dan kamu basi. asal tuhan sayang kamu. jodoh itu rahsia Allah yang sangat besar. kamu takkan bisa fahami dan ketahui hinggalah Dia memilih untuk menghantar si dia itu kepadamu. andai kamu kasihkan tuhanmu lebih dari segalanya, maka jodoh itu, hari tua itu akan kau susuri seakan tenangnya air sungai nil. hanya kepadaNya kita datang dan kepadaNya jugalah akan kita pasti kembali. salam sayang dari aku buat saudara seagama sekalian.

No comments:

Post a Comment