Followers

Saturday, May 14, 2011

find me.

Kadangkala kita perlu menjadi hilang sebelum kita boleh dijumpai.

Kita telah hilang. Untuk satu waktu panjang, kita telah hilang. Tahun-tahun melewati dan kita tersesat di belakang. Di setiap wajah ramah yang baru, kita mencari wajah beku yang lama.

Kita tak berdaya berterus-terang, juga tak berdaya mentafsir. Lalu saya memilih jalan sunyi tak berpenghuni dalam penantian dan kamu memilih jalan sibuk melata mencari mengisi sepi.

Kamu lelaki tergesa mesti terburu meluput sunyi. Kerana itu kamu tersadung langkah bertahun di samping orang bukan kesayangan.

Saya perempuan degil mesti mahu kasih berbondong. Kerana ini saya tertindih di muka surat pertama sedang ceritanya sudah beratus helai ditulis.

Ada satu kisah baru terbongkar hari ini. Tentang kamu yang dungu memperjudi kasih seakan pelabuhan. Tentang hati orang bukan kesayangan yang kamu tinggalkan. Kamu yang cemerkap mencuba meluput kasih pada saya dengan cara kejam.

Andai saya mampu bercerita, seluruh dunia takkan percaya.

Saya mahu hilang sekali lagi, supaya saya akan ditemui oleh orang yang tepat.

Jalan Pilihan Kita

Jalan yang kupilih ini
berbeda daripada jalan pilihanmu
anehnya kita sering bertemu
di jalan bukan pilihan kita

aku mengelana di lumpur perasaan
di jalan sunyi tanpa sempadan
aku mengelana di kerikil ilmu
ditemani akal menderu

ku melangkah berulam riang
di jalan yang tak punya perasaan
kau sibuk mengurus hiruk pikuk
hidup yang tak terselesaikan

kau tak pernah mengerti
jalan sunyi yang kupilih
seperti aku tak pernah mengerti
jalan sibuk pilihanmu

jalan yang kupilih ini
tak mungkin menemukan kita
seperti kita tak mungkin bertemu
di jalan pilihanmu.

T. Alias Taib
Petang Condong.

No comments:

Post a Comment