Followers

Wednesday, April 13, 2011

manusia aneh.

ramai pula manusia update tentang persiapan pertunangan si adam hari ini. mungkin kerana tarikhnya semakin hampir kini. ramai yang membantu tak kurang juga yang menumpang teruja kerana ini rakan lelaki yang pertama bertunang. dalam tak sedar, dia juga jauh dalam satu sudut hati, mengharap si adam benar akan bahagia. dan dalam satu sudut lain yang tersembunyi diam, ada pula detakan perlahan pada suara sayu dalam hati.

dia harus kuat, harus membunuh impian ini sebelum ia membunuh dirinya. dia mahu luhurkan kasih hanya pada Allah. dan yakin bahawa Dia akan menggantikan dengan cinta yang lebih baik untuk dirinya. lewat ini syaitan seakan semakin menyukainya. kerana dia hampir sahaja mengikut jejak mereka.

tahukah kamu bahawa syaitan itu dahulunya sungguh taat dan beriman pada Allah? tapi sesudah diciptakan Adam, syaitan itu tidak mahu tunduk pada takdir bahawa kedudukan Adam lebih tinggi. syaitan berjaya beriman pada semua rukun iman kecuali yang terakhir; beriman pada qada' dan qadar. dan kerana rukun iman yang satu ini, mereka dilaknat selamanya.

kamu di luar sana, dia mohon dalam doa baiknya agar jangan biarkan dia seorang persoal qada' dan qadar. tidak pernah mahu dia menjadi seperti syaitan yang tidak mampu percaya pada tetapan Allah sebagai yang terbaik. tolonglah, dan dia pohon dalam ruang hati kamu sekalian walau sekelumit cuma, untuk hadirkan satu doa baik untuk dirinya dalam solat kamu.

siapa tahu, doa kamu lebih tinggi kedudukannya daripada doanya. lalu mohon dia hanya ini, dalam doa baik kamu, suarakan pada Allah agar diluput kasih dan kenangannya pada si adam andai benar dia bukan jodoh dia yang ditulis di luh mahfuz berpuluh ribu tahun yang lalu.

tapi dia ini memang manusia aneh. walau mengetahui bahawa update pertunangan ini akan hanya hadirkan sayu, tetap dia membacanya. berkali-kali seolah ia berita paling gembira. dia memang aneh, menyintai juga dengan aneh, dan dengan anehnya bisa tersenyum di depan si adam seolah kenangan mereka tiada makna.

kamu, kamu dan kamu; jangan jadi aneh seperti dia. khabarkan pada adam-adam kamu yang kamu kasih akan perasaan itu. andai dia punya peluang seperti kamu, akan dia kisahkan pada si adam tentang rasa hebat ini. tapi dia tak boleh berbuat demikian kerana demikian itu hanya hancurkan berjuta impian manusia yang lain.

menyimpan satu rasa itu perit, meyakinkan si adam bahawa dia sudah melupakannya adalah perit, meyakinkan diri sendiri bahawa empat tahun sebuah penantian itu cumalah satu mimpi panjang adalah perit, percayalah. sangat perit.

No comments:

Post a Comment