Followers
Wednesday, January 19, 2011
kisah dongeng anak kecil.
Assalamualaikum wbt.
mungkin ramai tak tahu bahawa aku dibesarkan dengan kisah-kisah dongeng putera-puteri ketika aku anak kecil. tiap kali sebelum tidur, akan ibu lagukan bermacam kisah akan agungnya cinta manusia. cinta adam dan hawa. akan lena sepiku dilewati mimpi-mimpi indah tentang cinta.
menginjak alam persekolahan, kisah ibu makin lenyap. mungkin aku sudah besar lalu ibu hentikan lagu itu. namun aku ditemukan pula dengan kisah-kisah masyhur karya Disney. akan selalu si jelita untuk si jelik. si putera untuk cinderella. aladdin untuk jasmine. si duyung dan manusia. detak jantung si hawa waktu akhirnya akan seiring dengan si adam. aku sangat percaya itu.
tapi aku juga mula tahu akan pentingnya manusia untuk punyai wang. duit saku aku simpan berhari-hari, ikat perut tak mahu makan. konon bila duit aku banyak mampu beli semua. kelakar bukan? pulang ke rumah ibu selalu pelik melihat aku kelaparan. tak makankah aku? aku sekadar senyum. takut dimarahi.
aku mula khuatir, aku buntu dan resah. pada tiap kisah dongeng aku kenali, wang itu adalah tidak penting. hanya cinta yang ada. tapi masakan tidak penting. bagaimana pula kiranya adam aku nanti tiada berduit? aku mula berkompromi seorang. benar, wang tak boleh beli segala. tapi segala yang boleh dibeli, perlukan wang bukan? waah, kecil-kecil lagi sudah nampak minat aku cenderung ke arah mana bukan. ahaha.
namun percaya aku akan agungnya cinta itu tidak pernah malap. tetap aku mahukan seorang adam yang aku yakin akan sayang selama. masih yakinnya aku akan hadirnya adam yang hatinya seakan hatiku, akan bahagia aku adalah bahagianya. tapi di mana pula harus aku sisipkan perihal duit itu dalam kisah cinta ini? aku tertanya sendiri.
lalu akhirnya setelah jenuh aku berteka-teki, selepas letih aku memikir jalan keluar, aku berjaya carikan jawapan. tahukah apa jawab yang aku temu? begini jalan selesai aku anak kecil waktu itu. untuk dapat duit, harusnya aku rajin belajar agar bisa kerja hebat dan peroleh wang lumayan.
maka dengan wang lumayan itu, tak perlu lagi aku mencari si adam yang kaya-raya untuk dinikahi. buat apa bukan bila aku sendiri punya wang yang banyak? dengan ini, secara rasminya aku bisa memilih si adam yang aku sayangi meski adam itu tiada wang yang mampu beli seluruh alam. haha kamu rasa tak logik? ketahuilah pada anak kecil yang baru lihat dunia selama tujuh tahun, resolusi itu tepat sekali.
dan tidak hairanlah aku belajar bagai esok adalah hari matiku. pada usia tujuh tahun, aku berhempas-pulas menelaah buku hingga lewat malam. saban hari ada sahaja ibu menyakat aku. kata ibu, aku belajar seolah aku pula yang mahu ambil UPSR, sedang tahun itu kakak aku yang harus mengambilnya. ibu tak tahu itu. penat lelah peluh derai aku untuk sebuah cinta. kalau ibu tahu mungkin dia pengsan. hehe.
motivasi aku cukup berbeza dari anak kecil lain. tapi keinginan hati itu terlalu kuat maka ia menolak aku jadi yang terbaik. aku jadi pelajar pertama di sekolah melangkau kelas, seterusnya peroleh 5A untuk UPSR, dan kemudian 8A untuk PMR. telah acap kali kejayaan itu aku genggam, maka tak salah andai ibu ayah yakin akan aku terusan mencipta sejarah sama.
tapi sejarah aku nyata lari dari yang dirancang. pada suatu hari, aku temu seorang adam. dari situlah segala bermula dan berakhir. bertemu adam itu seakan melewati hari-hari anak kecil dahulu, menyemai impian akan tinggi sebuah harapan. dan di saat adam itu hilang, aku seakan tersedar dari impi anak kecil.
terasa mahu dimarah sahaja tiap kisah dongeng dahulu. kisah-kisah inilah yang tabur selautan impian mewangi, perdaya tiap anak kecil akan wujudnya teori bahagia selama, akan adam itu untuk hawa. kala itu aku tak sedar, tak seharusnya manusia persalahkan takdir. ujian tuhan, rahsia tuhan. Wallahualam.
hari ini aku yang menginjak dewasa mula tahu tulis rasa hati sendiri. tak perlu lagi mendengar kisah dongeng mahupun menonton karya klasik putera-puteri. hati aku punya lagu sendiri, merdu dan adakala cukup perlahan walau untuk aku sendiri dengari.
tapi tak semua yang aku tahu kala anak kecil itu dusta semata, tetap ada benarnya. aku tahu bahawa satu rasa cinta itu memang agung, benar wujud tapi tidak mudah dimiliki selama. akan hadir satu ketika dalam hidup manusia, mereka perlu berkorban. dan kiranya di penghujung korban itu, mereka masih pegang cinta agung itu, maka itulah jodoh tuhan utus buat mereka. tapi andai pegangan terlepas di penghujung, harusnya terima terhenti kisah bersama.
hari ini aku bisa katakan pada semua: aku tak punya banyak. aku telah hilang cinta agung itu. aku tak punya wang berbukit. tapi aku punya mereka yang sayang pada aku. lalu akan aku belajar untuk lafazkan kata syukur pada tuhan kerana mudahan kata ini akan dekatkan aku dengan bahagia yang telah tuhan janjikan bagi tiap hamba yang beriman. Alhamdulillah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment