Followers

Saturday, October 23, 2010

tak semua ombak menemui pantai (2).


hari ini, pantai begitu bahagia. dia telah menemukan ombak yang baru. yang merawat lukanya yang lama. hari ini juga, deruan angin yang dahulunya deras menentang kini telah reda, hanya sekali sekala meniupkan bayu nyaman. tanpa sedar, ombak itu ditiupkan ke pantai yang dahulunya ditinggalkan. pandangan mereka menyatu. pantai membisu, dan ombak beransur pergi buat kesekian kalinya. iya, pantai tidak tahu, dan tidak akan pernah tahu. pada pantai, ombak telah melukainya, meninggalkannya jauh. fikir pantai, ombak lebih mementingkan lautan. dan mahu sahaja ombak teriak ke pantai kisah sebenar antara dia, pantai, dan angin yang bertiup. mana mungkin ombak menentang angin yang cukup dia sanjungi meskipun hatinya menginginkan pantai. tapi pantai tidak perlu tahu ini semua.

kerana andai kiranya pantai mengetahui kisah sebenar, tentu pasti dia akan mencari ombak. barangkali perlahan-lahan, pantai akan memisahkan dirinya dari daratan, dan masuk ke laut mencari ombak. tapi mana mungkin pantai hidup di lautan. belum pun sampai di tengah lautan, dia pasti tenggelam. dan untuk tidak tenggelam, pantai perlu selalu berada di daratan. justeru, tidak dikhabarkannnya ombak kepada pantai akan kisah sebenar. biarlah pantai bahagia bersama ombaknya yang baru.

dan tiada apa yang dikesalkan ombak melainkan satu. sekiranya dia menemui pantainya dari dahulu, ombak yakin dia mampu merubah pantai menjadi lebih baik dan indah. akan dikaut segala kekotoran yang mencemarkan pantai dan alirkannya ke lautan. kerana pantai itu indah, jika ada yang menjaganya.

No comments:

Post a Comment