Adik perempuan saya seorang jururawat.
Maksud saya, bakal. Dia baru sahaja tamat SPM dan memilih bidang kejururawatan di sebuah universiti swasta. Kenapa saya terkejut? Sebab saya selalu beranggapan dia akan mengikut langkah saya mengambil TESL. Dahulu dia ini cukup minat dengan bahasa asing ini dan sering mendapat markah tertinggi untuk subjek ini.
Tapi hari ini dia memilih bidang yang langsung tak pernah disebut-sebut beliau. Mak pun mulalah bising, jadi cikgu kan senang, dapat kerja terus, subjek english itu pun kamu pandai kan. Adik buat muka seposen. Setelah puas diinterbiu akhirnya adik cerita sebab mengapa tak mahu ambil TESL yang pernah dia sebut-sebut.
Kerana saya.
Kerana dia tak mahu menjadi seperti saya. Ini kata-kata dia pada ibu. Dia tak mahu menghabiskan hidupnya seperti saya. Rupa-rupanya bertahun ini dia meneliti, memerhati tiap kelakuan saya bergelar pelajar TESL. Hanya pulang ke rumah empat kali setahun. Cuti mid sem dan final sem. Weekend tak pernah balik, study leave pun tak pernah.
Katanya saya sudah tak keluar dengan rakan-rakan lagi. Ambil TESL itu menyesakkan, membebankan. Terlalu banyak kerja mungkin fikirnya. Dia tak mahu hidupnya terasing seperti saya. Saya hanya ketawa.
Kerana adik itu tak tahu, saya menyibukkan diri bukan kerana kerja yang bertimbun. Kerana saya perlu belajar lupa pada kenangan. Dan setelah bertahun baru saya sedar kenangan itu takkan boleh dilupa, melainkan kalau saya hilang ingatan.
Adik cakap dia mahu menjadi jururawat sebab nak kahwin dengan doktor di hospital. Saya beritahu dia, jangan jatuh cinta dengan penjaga stor hospital sudah lah. Kerja di hospital juga tu.
No comments:
Post a Comment