Gadis itu terbaring lesu. Terdampar di sisir pantai yang asing. Bersendirian. Matanya terpejam dek silau mentari. Pipinya masih basah, entah kerana air laut yang masin atau air mata yang belum kering.
Mahu sahaja dia memejam mata selama-lamanya. Agar tak perlu kelopak mata halus itu menampung berat titis air yang terbit dari mata bundar miliknya. Di saat itu terasa ada yang mengusap perlahan rambutnya. Cukup lembut dan nyaman.
Pemilik tangan yang mengusap itu berkata,
"Jangan menangis lagi. Bersabarlah. Berdoalah kepada Aku kerana Aku sangat dekat. Ketahuilah Aku tidak pernah menciptakan dia untukmu. Dan Aku tidak pernah menciptakan kamu daripada tulang rusuk kirinya. Kamu yang telah tersilap selama ini."
"Dan Aku juga telah menciptakan yang lebih baik untuk kamu. Hanya masanya belum tiba untuk Aku temukan kalian. Telah Aku tuliskan dalam KitabKu akan setiap takdir antara kalian. Terimalah ia dengan lapang dada dan keteguhan iman. Lepaskan dia perlahan dan kau akan mengerti..."
Gadis itu membuka mata. Bantalnya telah basah dek air mata. Mimpi apakah ini? Dilihatnya sekeliling. Sunyi. Dilihat jam meja. Dua pertiga malam. Dan akhirnya dilihat objek dalam rangkulannya. Yang didakap erat menangis sehingga terlelap. Kitab Al-Quran itu.
Gadis itu tersenyum dalam hiba. Bersaksi gelap malam, dia bangun mengambil wudhuk dan menunaikan Qiamullai. Kerana aku ini hambaMu yang lemah, maka kumohon Kau kuatkanlah hatiku menerima takdir yang telah Kau tulis beribu tahun dahulu. Terimalah taubatku dan bahagiakan kami dunia akhirat...
No comments:
Post a Comment