Followers

Saturday, April 30, 2011

gadis itu.

Gadis itu,

Kamu seperti buku puisi di kedai-kedai buku terpakai. Sukar ditemui akan dirimu. Kau punya edisi terhad. Namun kerna kau itu karya sastera, tak ada tempat untuk kau di hati ramai. Bukan kerna mereka tak melihat kamu, tapi kerna mereka tak faham akan bahasa diam kau tuturkan.

Tiap helaian buku puisi itu adalah hatimu. Jika mereka mentafsir satu demi satu diksi kau ukirkan, tentu mereka akan temui gadis yang tak pernah mereka temui. Jiwa yang kuat itu hanyalah latar hidup kau lukis bagi kaburi mata mereka, walau aku sendiri tidak tahu mengapa harus kau menipu semua. Dan aku - aku tahu ini kerana aku pernah membaca kau pada suatu masa lalu.

Tapi kini kau tersorok di rak buku yang terbawah, tersembunyi di sebalik debu tebal, dihimpit karya-karya agung Shakespeare dan Wordsworth. Mana mungkin ada mata yang melihat kau. Jika ada sekalipun, kamu tiada nilai kerna kau hanyalah buku puisi lama, nama kau tidak semasyhur.

Kau adalah puisi lama yang pernah aku tatap. Tapi kini kau dibalut sampul jernih, diletak tanda harga murah di kulit bukumu. Tiada siapa pun yang dibenar membaca puisimu. Cuma bisa melihat kulit nipismu. Tapi kata kau puisimu bukan untuk dijual. Kamu tak mahu dijual. Kau tak mahu ada yang membacamu.

Maka akan selamanya kau menjadi buku puisi lama, ditinggal dan akhirnya dilupa. Kau akan kekal di mata mereka begitu. Bila bungkam kau begitu, bila resah jua kau begitu. Keras tanpa perasaan. Tapi andai mereka membaca kau seperti aku pernah membacamu, akan mereka lihat kau yang teramat sensitif, yang punya luka di tiap rima puisi kau tuturkan. Gadis itu yang tak mungkin difahami semua.

Sedang aku sendiri semakin tidak memahami kamu...

No comments:

Post a Comment