Followers

Friday, April 29, 2011

berbeza kita membalut luka.

Mengapakah dua orang yang bertaut hatinya tidak dapat kembali?

Seusai kata perpisahan...

Si Gadis akan termenung sepi melihat rintik hujan jatuh pada tingkap. Telefon digenggam menanti suara yang lama bergema diam. Memikir apakah mungkin jalannya akan berselisih, Si Gadis memakai baju kesukaan Si Teruna. Menapak perlahan pada jalan-jalan yang pernah dilalui bersama. Siapa tahu, mereka akan bertemu pada salah satu jalan itu. Menyimpan nombor telefon yang sama, kiranya Si Teruna terfikir untuk mencarinya kembali. Mencoret kata di laman rahsia, mungkin sahaja akan ditatap oleh Si Teruna, mungkin dia akan kembali. Itulah Si Gadis - mengingati tapi tidak mencari.

Si Teruna membayangkan pertemuan kembali tentu menyakitkan. Mungkin sahaja hati Si Gadis akan berpaling kira berselisih. Sedang hati Si Teruna mungkin sahaja lemah kecundang. Memikir akankah Si Gadis terlihat kematian dalam matanya. Lalu menapak perlahan Si Teruna pada jalan-jalan asing, jalan kosong yang tiada pernah dilalui bersama. Hindar jauh dari jalan-jalan yang punya kenangan. Menukar nombor telefon. Berhijrah ke bandar baru. Usaha sehebat meluput tiap rasa. Namun masih ada kata-kata tergantung sunyi. Mungkinkah akan bertemu kembali? Itulah Si Teruna - mengingati tapi tetap menjauhi.

Setelah bertahun melalui jalan yang tiada bertemu itu, jejak mereka menyatu. Disapa lembut angin malam. Menatap satu wajah yang membina kenangan. Di situ Si Teruna telah siap membina keluarga sendiri, punya tanggungjawab pada sebuah kehidupan yang luas. Si Gadis pula telah terbang tinggi melewati mimpi yang kini dalam genggaman. Saling menatap, diam seakan tenang menyaksi mentari subuh. Beribu kata yang tak terucap dahulu. Dan kini masih tak terucapkan. Mari mulakan kembali. Itulah kata-kata yang bertahun berantai di hati, kini terbang di udara tanpa diluah. Yang terucap di bibir mereka hanyalah ucapan ringan. Sekadar bertanya cuaca dan hidup terkini. Sekali-sekala berkisah akan keluarga yang dibina dan mimpi yang terlaksana. Seterusnya, Si Gadis dan Si Teruna berpaling dan teruskan langkah dalam jalan berbeza yang telah mereka pilih.

Mengapakah dua orang yang bertaut hatinya tidak dapat kembali?

Kerana dia hanyalah Si Gadis manakala dia itu pula hanyalah Si Teruna.

Dan bukankah sudah saya katakan, perempuan dan lelaki membalut luka dengan cara yang berbeza...

No comments:

Post a Comment