Followers

Tuesday, April 12, 2011

daisi putih.

saya sering melalui kedai-kedai bunga di tepi jalan atau di dalam pusat beli-belah. seakan dilatih secara automatik, saya akan tercari-cari bunga daisi putih. ya, itu bunga kesukaan saya. ramai yang memilih bunga ros, tapi saya tidak. saya sukakan daisi putih.

namun jarang sekali saya terlihat akan daisi putih di kedai-kedai bunga. lambakan bunga ros seakan satu kemestian pula. lalu baru-baru ini di karnival universiti, saya terlihat daisi putih. tiada niat langsung untuk mencarinya, tapi sekilas pandang saya terlihatkan anggun daisi putih.

saya sentuh daisi putih itu yang cukup lama saya nantikan kelibatnya. cukup menawan dan tenang, sama seperti gambaran angan-angan saya. melihat daisi putih meliang-liuk dibawa angin, cukup memukau pandangan saya. seakan tak mampu mengalih pandangan.

pekedai di situ tersenyum pada saya. berdiri di sisi menanti saya membuat pembelian. saya membalas senyuman gadis itu, meletakkan daisi putih kembali di tempatnya, dan mengucapkannya terima kasih. memang itu prinsip aneh saya dari dulu, bahawa bunga bukan untuk saya beli, tapi untuk dihadiahi kepada saya. andai kamu pernah membaca entri hari jadi saya tujukan buat hartini ibrahim dahulu, tentu kamu tahu bahawa saya memang tidak akan membeli bunga untuk diri sendiri, walau saat itu semua manusia pun berbuat demikian.

menyedihkan bukan? bila kamu terjumpa sesuatu yang kamu mahu selama ini tetapi tidak boleh memiliki. bukan tak nak memiliki, cuma hanya tak boleh memiliki.

lalu saya tinggalkan kedai itu sambil membiarkan wangian daripada daisi putih itu terbang di udara.