Saya kecewa. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan ketika musim peperiksaan akhir. Oh sangat kecewa seolah terlepas bas rombongan sekolah ke Melaka dan Kuala Lumpur. Jangan tanya saya mengapa dua tempat ini cukup suka dilawati oleh budak-budak sekolah. Cikgu sudah kering idea mungkin.
Hartini Ibrahim teman serumah dahulu berada di Kuala Lumpur juga sekarang. Tapi tidak rasanya beliau ke pesta tersebut, membaca bukan bidangnya, itu kata beliau. Tapi mungkin jika saya minta beliau ke jualan akhir tahun atau penghabisan stok di pasaraya-pasaraya dia akan bergegas tak sempat makan pun tak mengapa.
Beliau juga salah seorang dari ramai yang sering utarakan keanehan saya. Anehkah saya jika saya sedikit berbeza dari yang lain? Tentu bosan bukan jika memikirkan semua manusia pun serupa sifatnya. Mungkinkah doktor yang menyambut kelahiran saya secara tidak sengaja menghantukkan kepala saya di birai katil lalu menjadi seaneh ini?
Aneh 1. Setiap kali mendaki atau menuruni tangga tidak kira tinggi mana sekalipun, minda saya secara tidak sedar atau berada dalam tahap di luar kawalan telah menghantar impuls ke otak di mana saya akan mengira bilangan anak tangga tersebut sehinggalah yang terakhir. Lalu teman-teman serumah ketawa hebat bila mereka tahu bahawa saya tahu bilangan anak tangga di rumah sewa lama dahulu adalah lima belas semuanya.
Aneh 2. Saya tidak akan memilih sesuatu yang saya paling suka. Sebaliknya saya akan memilih yang kedua saya suka. Jika menemani Syahirah Saudi yang gemar membuat amal dengan bersedekah di pasaraya-pasaraya, ada masanya saya akan terlihat kasut yang saya suka. Iya, saya sangat suka kasut melebihi baju, seluar, aksesori dan sebagainya. Tapi jika terdapat dua pilihan, saya pasti akan memilih yang kedua saya suka. Kakak saya kata, saya seorang yang takut terima kecewa. Takut kasut yang terlalu diharap sebenarnya tidaklah enak dipakai. Lalu saya lebih rela dikecewakan oleh yang kedua saya suka dari yang paling saya suka. Saya sangat menyedihkan, itu kata beliau.
Aneh 3. Filem hantu saya sangat tak suka. Imaginasi saya terlalu tinggi maka elemen-elemen tak logik dari filem akan selalu terkeluar dari kaca televisyen ke dunia realiti. Tapi saya begitu kagum dan obses dengan filem seram yang melibatkan pembunuh kejam atau bersiri yang akan mendera mangsa secara mental atau fizikal sebelum membunuh mangsa dengan kejam. Kerana saya rasakan mereka ini sebenarnya hanyalah individu-individu kreatif hingga boleh terfikir cara yang paling ngeri untuk menamatkan riwayat seseorang. Mungkin kreativiti mereka tidak disalurkan ke arah yang lebih bermanfaat, itu sahaja.
Aneh 4. Saya tidak berkongsi masalah dengan manusia lain. Saya tidak punya sebarang masalah jika manusia ingin berkongsi masalah dengan saya, tapi saya tidak akan berbuat demikian. Maka andai ingin tahu juga, perlulah membaca. Saya manusia yang tak bercerita secara lisan, tapi dalam tulisan.
Aneh 5. Saya tidak akan membeli bunga untuk diri sendiri. Dah cerita dahulu di sini.
Aneh 6. Saya boleh menyayangi seseorang seumur hidup walau ia menyakitkan. Saya boleh, tapi saya tak mahu. Saya tak mahu maka saya harap ada yang dapat menghentikan keanehan saya yang terakhir ini. Bolehkah begitu? :)
No comments:
Post a Comment