Followers

Sunday, February 13, 2011

untuk seorang hawa.

biar tiap putik kenangan itu gugur indah, kerana bahagia kita hanya Allah yang tahu...

Assalamualaikum wbt.

Seminggu lamanya aku dapat menahan teguh empangan dari pecah. Dan lewat petang ini, air jernih itu mula terbit dari celahan impian yang tinggal. Berbicaranya aku dengan seorang sahabat dunia akhirat akan kisah aku dan kamu, seorang adam yang cukup terkesan dalam hidupku.

Sahabat ini cukup lama aku kenali, cukup panjang tempoh waktu hidup aku susuri bersamanya. Dari anak kecil di titian awal persekolahan rendah, hingga ke menengah, dan terus ke matrikulasi. Dahulu aku adalah seorang hawa yang tanpa jemu menyeka air mata sahabat ini kala dia kecewa akan tiadanya jodoh bersama seorang adam. Alhamdulillah, dia kini telah sembuh, telah Tuhan gantikan dengan adam yang lebih indah.

Kata mereka, aku harus beritahu pada kamu akan sayang itu. Akan sekian lama masa berjalan untuk aku menunggu kamu bertahun lamanya. Adam itu tidak tahu. Kiranya dia tahu, akan pasti dia memilih aku. Bicara mereka lagi, kami kenal adam itu. Kami tahu walau sejauh mana hati adam kembara, seramai mana hawa adam temui, akan tetap aku di tempat paling atas.

Sesungguhnya, aku sangat mahu percaya itu. Sangat mahu hingga aku sakit mengharap. Dan yang paling pilu, aku sebenarnya telah tahu itu. Aku sendiri tahu tinggi takhtanya aku adam letakkan dalam hatinya. Mahu sahaja aku menatap adam itu selagi darah mengalir nadi berdenyut, dan luahkan tiap rasa paling dalam aku buatnya. Sungguh aku mahu.

Namun aku tak bisa. Kurang berapa bulan sahaja lagi, adam akan mengorak langkah cukup penting, menitip satu komitmen agung pada seorang hawa yang lainnya. Lalu kata mereka, rebutlah adam itu. Percayalah, kau akan menang. Kerana kami kenal adam, kami tahu ruang hatinya yang dalam diisi dengan kenangan kamu.
Benar, aku pernah terfikir merebut adam. Aku mahu adam itu bahagia bersama aku.

Andai kata adam itu memilih aku, tentu akulah hawa yang paling bahagia itu bukan? Sesiapa sahaja mahu berada di tempat tenang itu di sisi seorang adam. Tapi sejauh manakah bahagia aku dengan merampas kasih seorang hawa, meleburkan sejuta harapan seorang hawa yang juga punya sedih dan bahagianya dipaut kenangan bersama adam yang sama? Adilkah buat dirinya? Andai aku di tempat hawa ini, pasti luluh hatiku untuk melepas kasih di saat begitu hampir akan meterai akan satu ikatan yang sah.

Justeru, akan aku simpan sejuta harapan kasih aku buat seorang adam hanya di laman ini. Biarlah adam itu tidak pernah tahu bahawa aku juga punya rasa kasih teramat dalam pada dirinya, bahawa aku ini hawa yang saban waktu menanti dirinya dalam tindihan sejarah silam. Biar adam tidak tahu, cukuplah Allah mengetahui akan tulusnya sebuah rasa ini serta jauhnya penantian aku untuk seorang adam.

Maka, bertahun dari hari ini, dari waktu tergantung sunyi ini, akan aku berpaling melihat akan saat ini. Saat inilah yang akan aku ingati selagi nyawa aku dipinjamkan. Kerana andai ada yang bertanya meminta aku membuka lipatan sejarah silam ini, maka inilah yang akan aku katakan pada mereka;

Ketika aku 15 tahun, aku temu seorang adam. Di usia 16 tahun, aku pertama kali menyintai adam ini. Kala aku 18 tahun, aku hilangkan adam ini. Dan akhirnya saat aku 23 tahun, Tuhan hadirkan sebuah harapan untuk aku merebut kembali kasih adam yang satu ini. Dan aku, daripada memilih untuk merebut kasih seorang adam, aku telah memilih untuk memulangkan kasih seorang adam kepada seorang hawa. Kerana aku juga seorang hawa, yang mana hati gusar pilu seorang hawa hanya bisa didakap tenang oleh seorang hawa yang lainnya.

Hawa ini juga punya kenangan dilukis bersama adam. Maka biarlah dia menyambung lakaran kenangan itu bersama adam, mewarna indah pada sejuta rasa, melahirkan yang soleh dan solehah bersama, serta menjalani hari tua bersama. Dan kenangan aku, biar aku yang simpan kemas. Bertahun dari saat ini, aku mahu bisa tersenyum dan kisahkan pada mereka yang akan datang; Ini untuk seorang hawa, yang tidak pernah aku tatap wajahnya, tidak juga pernah aku dengar suaranya, tapi cukup mampu aku rasakan tiap degup jantungnya untuk adamku. Kerana jantung kami berdegup untuk adam yang sama. Ini untuk seorang hawa, dari seorang hawa.

Bahagialah kalian dunia akhirat. Amin Ya-Rabbal Al-Amin.

No comments:

Post a Comment