Assalamualaikum wbt.
selamat hari lahir untuk seorang kakak yang kini seorang pensyarah di shah alam. semoga sentiasa dalam lindungan Allah swt.
dahulu, aku cukup tidak suka kakak aku ini. kerana dia ini anak harapan, dia anak baik, maka aku anak serba gundah ini sering terluka melukis bayang-bayang sendiri. tiap kali ibu banding aku dengan kakak, akan aku rasa jauh terpencil, cukup kosong di mata semua. aku tak suka kakak.
namun hadir satu masa dalam diri aku, aku mengharap diam agar akulah anak harapan itu. tak perlu ditegur selalu, diagung angkat tinggi. lalu aku usaha, melawan penat lelah untuk jadikan aku anak harapan itu. hari ini, aku menjadi anak harapan.
baru-baru ini, aku seakan dihantar melewati aku yang silam yang telah lama aku lenyapkan. aku lihat adik, dan aku lihat aku dalam dirinya. adik kini mengganti tempat aku, menggalas harapan setinggi langit. adik kerap bertengkar dengan ibu. dan tiap kali, ibu akan suarakan akan lainnya adik dengan aku. aku anak taat anak harapan, tak bisakah adik belajar dari aku?
dan setelah ibu beredar, akan lampu kamar dipadam. dan dalam diam pekat malam adik akan menangis dalam selimutnya. aku dengar itu. aku tahu tiap rasa marah kecewa pada seorang anak ada dalam dirinya. aku tahu kerana itu aku yang dahulu. aku yang dulu akan menghimpun penuh rasa benci pada kakak atas sempurna seorang anak.
adik takkan faham sekarang. meski aku kisahkan ini semua, dia takkan faham. kerana dia masih anak kecil itu yang belum tahu apa itu harapan. maka aku mohon, dengan berlalunya masa, akan adik belajar hilangkan rasa benci itu pada aku. sebagaimana aku hilangkan benci aku pada kakak. dan aku juga mohon maaf kerana palit luka dalam pada adik sedalam luka yang terpalit pada aku dahulu.
adik ketahuilah, sama ada kita anak harapan atau tidak, kita tetap anak ayah ibu. sayang mereka pada kita semua sama, yang berbeza mungkin cara sayang itu dizahirkan. lalu tak perlu adik tangisi bermalam atas jauhnya kembara menjadi anak harapan.
tahukah adik, menjadi anak harapan juga tidak seindah yang kamu sangkakan? dalam diam sepi aku tahukah berapa lama dan panjang aku menanti sebuah bahagia? dalam tiap senyum kejayaan aku pada ibu ayah, tahukah gagalnya aku pada satu harapan sebuah kasih? tahukah kamu dalam tiap malam dingin kamu tangisi, aku juga turut menangis mencuba meluput kenangan bersama seorang adam?
hari ini mungkin pertama kali seorang kakak berpesan pada adik: tak perlu menjadi anak harapan itu, andai hati kamu tak cukup kuat memikul tanggungjawab dan luka dalam. andai kamu tak kuat, kamu akan hilang perlahan. seperti kamu hilangkan harapan sendiri demi hidupkan harapan mereka. seperti itu, kamu akan hilang.
dan aku anak kuat kata ibu ini, sedang berjuang mempertahan diri aku dari lenyap hilang. kakak sempurna kata kamu ini harus hidup selalu. sepertinya aku doa kamu juga akan terus hidup.
No comments:
Post a Comment