Followers

Friday, March 18, 2011

of fixing.


kita jarang sekali memperoleh apa yang kita ingini bukan? lalu sedarkah kita seharusnya mencuba bahagia dengan apa yang kita ada? berhenti menyalahkan takdir? ini kisah seorang anak kecil.

baru-baru ini, Allah ambil sesuatu dari anak kecil ini. sesuatu yang cukup lama dia lindungi, terlalu jauh dia nanti, juga teramat tinggi dia syairkan bertahun harapan. setelah Allah ambil ini, hatinya mati. hati yang mati tak kenal pada rasa, tak dengar akan suara, tak terluah pada kata. dia jadi boneka. bersedih itu lebih pahit dari berpura bahagia. lalu dia teruskan kepuraan itu.

dia mencari seorang penyair. hidupkan hati aku, pintanya pada sang penyair. tapi sayang, tenang lagu penyair tak mampu sembuhkan hatinya yang sudah pecah. berpaling dia dari syair indah itu.

dia bertemu seorang pelukis. hidupkan hati aku, pintanya. namun tidak, halus lakaran seorang artis tetap tidak sembuhkan hati yang terluka, tiada penawar.

dia tercari pula seorang cendekiawan. hidupkan hati aku kembali, katanya lagi. masih tetap, tinggi sebuah ilmu tak bisa sembuhkannya kembali. beredar dia dari falsafah agung itu.

hatinya kian mati, dia tahu itu. dia berbisik sepi dalam diri, tiadakah yang dapat sembuhkan kamu, wahai hati?

bermula saat itu, dia belajar mencari. mencari di sekalian wajah akan seorang, cukuplah seorang yang dapat sembuhkan hatinya. jangan biarkan ia terusan mati.

akhirnya dia temui Sang Pencipta. dia belajar terima akan sedih dari berpura. dia belajar terima takdir dan erti syukur. dia belajar berjuang untuk tidak mati dan melepaskan untuk terus hidup. ia tidak mudah katanya, demi Tuhan, sesungguhnya ia cukup sukar bagi anak ini.

tapi hari ini anak ini masih bernafas. dia masih wujud. masih dia anak itu yang hadirkan senyum di wajah ukhti, meski dia sendiri adakala sedang bersedih. anak ini yang sedang dan masih belajar memberikan kehidupan pada hati. kerana terlalu banyak nikmat dia jalani untuk hatinya mati tersia.

dan hari ini dalam tulisan kosongnya, anak ini titipkan satu pesan untuk kamu yang menatap: kamu juga begitu, harus sentiasa hidupkan hati. mesti selalu. biar prosesnya perlahan, asal ia berterusan. dan mesti ingat bahawa Allah tidak akan mengambil sesuatu dari kamu tanpa menggantikan dengan yang lebih baik. dan paling penting, ketahuilah:

when everyone can't fix you, Allah can.

No comments:

Post a Comment