Followers

Sunday, October 31, 2010

waktu akhirnya.

aku ini tidak sekuat yang kamu sangka. aku ini tidak sekebal perisai perang menahan luka darah segala. aku juga bukan sekukuh kubu yang walau dihentam berkali tetap teguhnya kekal. aku ini takkan pernah mampu berdiri sendiri jika tiada yang memapah menopang. aku ini yang hanya tahu mengadu pada pekat malam dan menangis dalam rintih hujan. aku yang kata mereka tiada punya rumit dan hidup yang serba sempurna. aku ini tidak kenal mana bahagia dari derita kerana kedua itu semua sebati denganku. aku yang adakala meraung dalam sepi hati bisu tetap ada senyum di bibir merekah. aku ini hanya dramatis di atas pentas kosong yang mendustai semua yang menonton. aku ini bukan sang bulan yang bisa saban waktu memancar cahaya yang bukan dirinya. aku ini yang tidak cukup kuat untuk bernafas menyusuri setiap celahan impian berseorang diri.

ini hanya si kerdil aku dan bukan si pari-pari kecil yang jujur berlagu meski sayapnya patah berderai.

aku ini perlukan keyakinan bahawa andai seribu pun yang menentang mencerca, akan bisa hadirnya kamu tegak di sebelah, takkan berganjak walau kamu dipijak dimaki. hanya kerana kamu itu meyakini akan lahirnya aku untuk kamu. aku ini perlu tahu adakah kamu mampu menuntun setiap langkah longlai yang aku jalani meski kamu waktu itu boleh sahaja berlari kencang. aku ini tidak mahu menanti melewati kamu itu sehingga hari-hari sepi hidupku berlalu kerana aku perlukan jawabmu waktu ini, hari ini dan bukan esok atau nanti. aku ini perlukan kamu menembusi hijab mataku dan bersumpah setia akan adanya kamu sentiasa memangkin darah dagingku kelak. aku ini yang hanya perlu hadirnya kamu untuk melengkapi segala yang tiada, kerana aku ini adalah tulang rusuk kirimu. yang serba tidak lurus tapi cukup kuat untuk kamu sandarkan setiap lelah dan jerih payah hati kecilmu. aku ini yang akan menjadi cukup kuat untuk bernafas menyusuri celahan impian andai kiranya kamu udara yang kuhirup di tiap hening pagi dan dingin malam.

ini hanya si kerdil aku yang mungkin sahaja bisa menjadi pari-pari kecil yang jujur berlagu andai sayapnya kembali tumbuh.

waktu akhirnya, aku ini hanyalah aku bila adanya kamu.

No comments:

Post a Comment