Followers

Tuesday, October 26, 2010

kerana kamu adamku.


aku pernah menemui seorang adam. yang sayangnya utuh menahan terik mentari dan ribut gelap. yang ada kala mendamaikan, sesekali merunsingkan. tetap dia adam yang sangat baik. tapi dia juga bukanlah adam yang sempurna, ada kala lupa akan kasihnya kepada Tuhan. kerana ini, ku buang adam yang satu ini jauh dari tiap pelusuk hidupku, kutinggalkan adam ini dalam kegelapan. tapi sayang yang telah tepu itu cukup berbekas terkesan selalu. khilafku padamu adam kerana tidak terfikir untuk membawamu keluar dari kegelapan itu, melihatkan akan cahaya Ilahi itu sebenarnya cukup indah jika dihayati. ketahuilah adam, saat itu aku juga tidak yakin akan keimanan yang aku sendiri hadirkan dalam diriku. aku juga baru belajar akan agungnya bait-bait al-Quran. iya, aku pernah menjadi seorang hawa yang jahil akan hakikat hak milik semuanya Allah. helaian kitab suci dan putih telekung itu pernah aku abaikan dahulu. Alhamdulillah, Tuhan itu Maha Pemurah Penyayang sifatnya, lalu dihadirkanNya hidayah itu untukku. dan dari saat hidayah itu tiba, aku hilangkanmu adam dari hidupku. dan sejak itu juga, aku menjadi seorang hawa yang hidupnya tanpa seorang adam.

oleh itu, kata mereka hatiku terlalu kering. jiwaku sukar mempercayai, dan pilihanku terlalu terasing. dan usiaku juga semakin bertambah seiring masa yang berputar. tidakkah aku sedar masa yang ada kian suntuk mengejar aku membuat pilihan yang sebetulnya dari dulu lagi telah aku putuskan? aku tidak menyalahkan mereka, malah aku akui ada benarnya kata-kata mereka itu. mereka juga seorang hawa sepertiku, yang sentiasa memerlukan adamnya di sisi. aku juga butuh adamku. aku juga dambakan adamku. ada detik di mana daerah hatiku juga sunyi tanpa seorang adam. benar, seorang hawa itu tak akan lengkap tanpa adamnya.

tapi barangkali mereka juga tidak tahu. perlunya adam bagiku bukan sekadar menambah indah cantiknya duniaku. bukan untuk dipamer seantero alam akan bahagia sukanya kami. dan jauh sekali demi memuaskan nafsu dugaan dunia semata. tidak. jika itulah adam yang aku cari, tentu sahaja mudah bukan? sayangnya, aku tidak perlukan adam itu. aku tidak mahu adam itu. adam yang itu indah bahagianya hanya sementara, tak mampu untuk memimpin tanganku berjalan seiringan ke syurga kelak.

adamku ialah yang menyayangi Tuhannya lebih dari dia menyayangiku. yang rindunya kepada Ya Rab melebihi rindunya kepadaku. yang setiap titik peluh darah dan airmata darinya adalah demi Allah. adam yang hanya akan memimpin tanganku sesudah aku sah menjadi hawanya yang satu. seorang adam yang keteguhan imannya lebih gah daripada keteguhan taj mahal. yang memahami bahawa lebihnya aku seorang penulis daripada seorang pendebat. adam yang dalam serius bicaranya terselit jua tawa usikan. yang mampu mendamaikanku dengan ayat suci dan tikar sejadah tika aku dilanda resah kepanjangan. yang berani menegurku saat aku lalai dan jauh dariNya. maka akan dibimbingnya aku menuju keredhaan Ilahi itu. adam itu yang akan bersama-sama denganku membina melahirkan yang soleh dan solehah, yang doa mereka tidakkan putus meski kami tidak lagi bernafas, malah mereka yang akan teruskan perjuangan itu kelak. itulah adamku.

dan bila tiba masa aku ditemukan denganmu adam, ku mohon agar kasih sayang ikatan itu biarlah tersimpul mati, tak terungkai akan mendung awan dan badai ombak. dan setelah kamu memilih untuk bersamaku, perlulah bagi kamu menjaga hidup dan matiku agar cinta itu halal di mata dunia juga akhirat. dan kerana aku wanita yang kamu pilih, maka lindungilah aku dari kealpaan, sedarkanku bilaku tersasar jauh, pertahankanku dari kemungkaran, pastikan aku menyusuri jalan Allah bersamamu. dan InsyaAllah, kita akan selalu bahagia begitu.

dan kerana kamu adamku, aku ingin kamu tahu akan hakikat yang satu ini.

No comments:

Post a Comment