Followers

Tuesday, November 16, 2010

kamu itu akan aku ingati.


seusai masa yang merangkak
terlihat akan kita yang dahulu
yang seakan anak kecil menari bernyanyi
memeluk mentari yang menyinar langit cerah
kita daki berdikit anak tangga sepi itu
demi tiba di puncak penuh bintang sinar
kita bisikkan waktu itu pada malam pekat
akan kita terus-terusan terbang bersama
kerana sayap lebar kita takkan pernah patah

seusai masa yang berjalan
kita belajar akan kita tidak kebal
kaki kita bisa patah dan suara kita itu ada sumbangnya
langit cerah itu rupanya bergilir dengan mendung hujan
tiap anak tangga kita daki cukup tinggi dan curam
dan adakala malam-malam kita bintangnya pudar suram
tapi tetap kita bisikkan dengan badan lelah kulit pecah segala
akan tiap sayap yang luka patah itu
bisa terubati kerana adanya kita bersama

seusai masa yang berlari
kita bangkit menyambut tibanya esok hari
meski belum pasti akan hutan belukar atau padang luas
tetap kita bukakan sayap lebarkan langkah
tetap yakinnya kita akan hadirnya pelangi tatkala hujan
hanya kerana kita itu telah dewasa menua
telah tahu sakit perit jatuh bangun segala
dan pabila tiba esok hari di mana langkah kita tak lagi sehaluan
aku mohon agar kau simpan dekat anak kecil dahulu
yang hidupnya hanya tahu berdansa berlagu sambil
memerhati langit cerah dan bintang malam
kerana takkan pernah dewasanya kita bersama
tanpa anak-anak kecil itu yang mencipta rasa ini
ketika mereka bertemu di tingkat empat bangunan usang dahulu

pergilah kamu melakar sejarahmu yang agung
terbanglah kamu mengejar tiap bahgia yang kau impi
waktu inilah kita lontar gusar gugup jauh ke langit
kerana kutahu adanya kamu menyambut aku
sepertinya aku akan mengangkat kamu kelak

selamat bergraduasi.
kamu itu akan aku ingati.

No comments:

Post a Comment