Followers
Thursday, November 4, 2010
dunia di belakang itu.
pernahkah kamu melihat akan dunia di belakang itu? rata-rata manusia akan selalu berjalan langkah demi langkah terus ke hadapan, tidak pernah terfikir akan dunia di belakang yang ditinggalkan. cubalah walau buat sedetik cuma, kamu berjalan dengan mengundur, di situ akan kamu temu sebuah dunia yang selamanya ada, tapi tak pernah kamu lihat dan temukan. dengan itu, kamu tidak akan pernah lupa akan dunia di belakangmu, kerana kamu akan sentiasa melihat akan tiap langkah yang kamu jalani itu, meski ianya serba tidak lurus, cukup terpesong, malah akan terlihat kesan akan kamu yang pernah jatuh itu. itulah dunia di belakangmu, yang kerap kali kamu abaikan. begitu indah menawan sekalipun dunia di hadapanmu, ketahuilah ia tidak akan pernah wujud tanpa dunia di belakangmu yang bersimpang-siur itu. dan setelah itu, kamu akan sedar bahawa dunia di belakang itu ada indah niannya yang tersendiri, kerana untuk tiap luka parah yang terhasil dari kejatuhan itu, kamu akan temui dewasamu berdikit-dikit. akan kamu pelajari ertinya punyai semangat untuk bangun kembali lalu meneruskan langkah-langkah itu. walau berdekah menyeringai tawa mereka itu akan kamu kekal tegak malah mampu membalas tiap hinaan itu dengan senyum selebar alam. hanya kerana yakinnya kamu akan hadirnya keindahan dunia itu pada esok nanti. itu semua kata mereka. aku ini hanya mengangguk mengiya, tapi hakikatnya hati kerasku menolak menepis segala.
dunia di belakangku itu tidak pernah luput hingga kini, lalu itu tidak merunsingkan. tapi aku ini adalah seorang manusia yang sukar mencatur arah laluan dunia hadapanku bila mana dunia di belakang itu tanpa jemu lelah menghantui tiap langkahku. aku mahu lontar hilangkan kenangan yang satu itu jauh ke langit, agar ia pergi selamanya membawa kamu bersama. tahukah kamu tiap kali aku berjalan mengundur itu, bayang-bayangku adalah kamu? sedarkah kamu akan tapak kaki yang terkesan itu adalah kamu? cahaya mentari yang terik membakar belakangku sehangat kamu? meski jalanku mata tertutup sekalipun, mengertikah bahawa kamu tetap angin yang menyapa dingin rautku? andainya kamu fahami akan kamulah satunya langkah yang ingin sekali aku lenyapkan dari sejarah hidupku. benar sejarah kita cukup indah, tapi kerana luka peritnya untuk aku hidup dengan sejarah indah itu, maka aku pohon agar kamu hilang lenyap. hari ini aku masih berjalan, tapi aku cukup takut untuk menoleh melihatkan dunia di belakang itu, kerana di situlah adanya kamu. hari ini juga, aku masih lagi tertanya...
indahkah dunia di belakang itu?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment