Followers

Sunday, December 26, 2010

farewell to thee.

wahai 2010, aku mahu tinggal kamu dengan senyuman agar aku bisa sambut saudaramu yang mendatang dengan lebih bahagia. maka kau senyumlah untukku, sepertimana aku akan ingati tiap kenangan yang kau lampir di tiap helaian hidupku.

wahai 2010, kau tinggalkanlah ingatan yang baik indah itu dalam hatiku, kerana ia akan menukar tiap sendu di wajah aku dengan senyuman cerah, menongkah laluan masa depanku tika sukar. dan untuk segala ingatan yang menyakitkan itu, kau sembuhkanlah ia dengan tiap saat yang kau hadirkan kelak. segala kesakitan kesepian semalam, kau tukarkanlah ia menjadi mimpi, biarlah aku ingati semua pedih itu seolah ia mimpi indah panjang pada malam pekat.

wahai 2010, kau pejamkanlah mataku walau sejenak, untuk aku titip rasa yang pernah ada dalam hati, tidak kira bahagia, tidak kira sedih. untuk aku anggap ia sekadar mimpi menguji teguhnya hati. dan bila tiba waktu aku membuka mata nanti, kau akan hilang seakan deru angin yang berlalu, seakan tahi bintang yang jatuh, seakan demam yang telah kebah, begitulah kau akan hilang. segalanya akan kembali tenang nyaman, seolah kau tak pernah hadir. dan di tempatmu itu, akan kau gantikan sinar yang baru, harapan yang agung, untuk aku julang tinggi dan menyambutnya dengan mesra. akan kusambut tahun mendatang dengan gembira, kerana pernah adanya kau bersama aku mencipta kenangan bersama.

wahai 2010, terima kasih untuk tiap kenangan yang kita lakar saban hari, untuk tiap kasih yang kau simpulkan, untuk tiap pengalaman yang kau hadirkan. kerana pernah adanya kamu, akan aku sambung perjuangan hati untuk mencari redha penciptaku.

wahai 2010, maafkan aku untuk tiap semangat pudar, untuk tiap tangis sendu kala lemah, untuk masa yang berlalu kosong. mahunya aku penuhi ruang gelap terdahulu dengan cahaya terang masa depan, maka kau maafkanlah khilaf silam aku padamu kerana aku mahu senyum, aku tak mahu terus hidup dalam bayang-bayang kamu. aku tersangat mahu senyum, peganglah kata-kata aku ini.

wahai 2010, pergilah kamu dengan perlahan-lahan agar kehilanganmu takkan terkesan bagiku. maka waktu akhirnya, aku mahu senyum padamu dan bisikkan ucap selamat ini.

farewell to thee.

No comments:

Post a Comment